Saturday, January 7, 2012

Rawatlah Hati

Sebagai hamba Allah, kita akan melalui hari-hari jatuh dan bangun. Itu tandanya Allah ingat dekat kita. Sayang kat Allah. :') Kadangkala kita terlupa kenapa semua ini terjadi? Itu peringatan kepada diri kita yang lalai. 




Banyak sebab yang menyumbang kepada keadaan seperti itu. Antaranya ialah jika kita terlalu obses terhadap dunia hingga melupakan matlamat sebenar hidup ini. Tetapi bersyukurlah kepada Allah SWT kerana hati anda masih lagi hidup dan berasa sempit apabila menyedari kealpaan yang lalu. 

Anda masih memiliki semangat untuk bangkit mencari iman yang hilang. Tetapi persoalannya, di manakah kita boleh menemukan iman yang hilang itu? 

Ada beberapa tempat yang boleh kita kunjungi untuk mencari keimanan sejati. Antaranya; 

1) Di hati kita sendiri. Sesiapa yang mahu memperbaiki diri mesti melihat ke dalam lubuk hatinya. Di situlah asal mula kebaikan bercambah menjadi benih yang baik. Hati yang hidup biasanya sibuk menyoal pada tuannya :

" kenapa kamu lakukan itu dan ini? " 


" Untuk siapa dan apa faedahnya? " 

Hanya ada satu zat yang dapat menguatkan hati kita, apabila kita bersandar padaNya maka hilanglah segala beban yang menyesakkan dada. Zat itu ialah ALLAH.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." – (Surah Yunus: Ayat 107). 

Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT, di situlah akan bermula segala kebaikan tercipta. Hati yang membisikkan pada kita supaya bertaubat, melupakan segala yang berlalu dan memulakan hidup baru. 






Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT, tempat berkumpul rahmat dan hidayah-Nya bagi mengikis segala syahwat yang melekat di dindingnya. Jika hati boleh disentuh umpama mangkuk kristal yang mahal, tuan empunya sudah tentu menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jangan ada debu yang melekat, sentiasa dibersih dan diletak pada tempat yang aman. Tiada tangan kotor yang mampu menjamah. 

Tapi sayang hati itu begitu murah pada pandangan manusia yang lalai, di biarkan retak menanti pecah berderai oleh dosa yang hitam. Masihkah ada peluang bagi kita membersih hati yang dicipta Allah SWT untuk merasai sejuta nikmat. Nikmat iman dan Islam, nikmat kebahagiaan dan ketenangan. 

Al-Fudail bin 'Iyadh berkata: "Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain." 

Iman yang hilang dan kehidupan sempit itu akan segera berakhir jika kita bersedia memperbaiki hubungan kita dengan Allah Taala. Melicinkan hati dari debu yang melekat, kerana tiada seorangpun yang sanggup menderita tanpa cahaya iman. 

2) Berbuat adil terhadap diri sendiri. 

Adakalanya penyakit jasmani dan mental menyerang manusia silih berganti. Bukankah itu petanda wujudnya kezaliman yang kita lakukan pada diri sendiri? Pemakanan yang tidak seimbang dan rehat yang tidak mencukupi menjadi punca kurangnya daya kekebalan tubuh. 


Bersenamlah. tubuh badan sihat, otak cergas. rase khusyuk je nak buat ibadah :)

Tekanan dalam menempa karier dan kerjaya, hubungan yang tegang dengan orang lain menjadi sebab tekanan berlarutan. Tetapi adakah kita juga merasai antara sebab tekanan dalam hidup ini ialah tidak tersedianya ilmu yang cukup, iman yang kebal dan ibadat yang ikhlas? 

Anda boleh meminta nasihat doktor pakar atau mencari ubat alternatif yang menjadi gaya hidup manusia moden seperti rileks di spa dan melanggan pelbagai terapi yang diuji keberkesanannya. Semua itu ikhtiar yang baik selagi tidak menyalahi syarak. 



Namun jangan mudah melupakan keperluan diri kita yang lain. Kalau hanya jasmani yang diambil berat, maka akan muncul ketidakseimbangan dalam hidup anda. Bagaimana dengan rohani sudahkah ia diubati? 

Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan dalam kitabnya Malamih Al-Mujtamak Al-Muslim: "Islam adalah agama yang realistik, ia berinteraksi dengan manusia secara keseluruhannya sama ada jasmaninya, rohaninya mahu pun akal dan perasaannya. 

Islam meminta agar semua perkara itu diberi santapan yang cukup dalam batasan sederhana. Jikalau riadah itu menjadi santapan jasmani, ibadat menjadi santapan rohani, ilmu menjadi santapan akal maka seni pula menjadi santapan perasaan." 


Keadilan dalam Islam cukup jelas ukurannya. Hanya manusia saja yang tidak mampu memberi kesaksamaan untuk dirinya sendiri. Ada yang terlebih mengutamakan dunia hingga melupakan agama, ramai pula yang terpukau oleh ajaran yang menyalahi asas ketulenan Islam itu sendiri. 

Keadilan untuk diri kita adalah memberi hak kepada seluruh isi tubuh ini dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang sembahyang sepanjang malam dan berpuasa terus menerus pada siang harinya, sabda baginda SAW yang bermaksud: 

"Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi mata mu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu mu ada haknya."– (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Tiada yang lebih menyayangi kita selain Allah Taala dan diri kita sendiri. Jalannya telah ditunjukkan oleh Rasul-Nya SAW iaitu bersihkan hati dan berbuat adil pada tubuh badan ini.





No comments:

Post a Comment